Selasa, 15 Oktober 2013

Solat hajat mohon Islam terpelihara dalam UPR

Kuala Lumpur: Semua masjid dan surau di seluruh negara disyor mengadakan bacaan qunut nazilah dan solat hajat selepas solat Isyak untuk mendoakan kedudukan agama Islam dipelihara semasa sesi Semakan Berkala Sejagat (UPR) di Geneva, Switzerland pada 24 Oktober ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) juga diarah melakukan perkara yang sama serta-merta sehingga UPR selesai.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini bagi mengulas tindakan pihak tertentu yang didakwa menyediakan satu laporan berkaitan hak asasi manusia di negara ini yang dibentang pada Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva nanti.
Kandungan laporan itu antara lain menyentuh mengenai hak kebebasan beragama dan meminta Malaysia mengiktiraf hak berlandaskan ‘SOGI - Sexual Orientation & Gender Identity’ iaitu hak-hak LGBTIQ (Lesbian, Gays, Bisexual, Transgender, inter-sexed & queer-persons).
Jamil Khir berkata, tuntutan dikemukakan pihak berkenaan adalah sesuatu yang boleh dipersoalkan kewajarannya memandangkan ia bertentangan dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Segala peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan perlu dihormati setiap warganegara di dalam dan juga luar negara,” katanya.
Beliau berkata, sebarang isu atau polemik yang boleh mengganggu-gugat kedudukan agama Islam adalah amat tidak wajar ditimbulkan oleh mana-mana pihak dalam apa jua forum.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan